Datuk Seri Tiong King Sing, Pengerusi BNBBC
Dakwaan 10 YB 'dikurung' di Beijing bohong
KUCHING: Ahli Parlimen Mas Gading, Datuk Tekhee @ Tiki Lafe, adalah satu-satunya Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sarawak yang kini berada di Beijing kerana bercuti bersama keluarga, manakala 29 lagi Ahli Parlimen BN Sarawak yang lain kini berada dalam negara.
Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Seri Tiong King Sing, yang mengesahkan perkara itu berkata dakwaan yang dibuat PKR bahawa 10 Ahli Parlimen Sarawak 'dikurung' di Beijing bagi menyekat mereka meninggalkan BN adalah pembohongan semata-mata.
Malah katanya, Tiki yang dihubungi seorang rakannya dari sini semalam mengesahkan beliau tidak pernah berhasrat untuk melompat parti atau keluar daripada BN serta akan tetap setia menyokong kepemimpinan BN.
"Saya tak tak tahu bagaimana PKR boleh mengada-adakan cerita 10 Ahli Parlimen dari Sarawak dibawa ke seberang laut. Setahu saya, tidak ada mana-mana Ahli Parlimen BN Sarawak yang 'dihijack' ke luar negara.
"Malah dari apa yang saya tahu percutian Tiki ke Beijing pun sudah lama dirancang bersama keluarganya dan tidak ada kena mengena dengan tindakan mana-mana pihak yang mahu menghantarnya ke sana," katanya kepada Berita Harian.
Kelmarin PKR mendakwa 10 Ahli Parlimen Sarawak sudah dibawa ke Beijing dalam usaha menyekat mereka daripada meninggalkan BN untuk menyertai PKR.
Timbalan presiden PKR, Dr Syed Husin Ali, mendakwa mereka sudah dibawa ke Beijing, namun tidak semua 10 orang itu yang akan menyertai PKR dan dua orang yang beliau dakwa sepatutnya membuat pengumuman penting kelmarin, ada menghubungi pemimpin Pakatan Rakyat untuk memaklumkan mereka berada di Beijing.
Mereka yang dikatakan dibawa ke luar negara itu adalah Ahli Parlimen yang kononnya sukar dipercayai dan berada di sempadan dalam radar BN.
Tiki adalah bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Naib Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP). Beliau tidak dilantik semula sebagai Timbalan Menteri selepas memenangi kerusi Parlimen Mas Gading pada pilihan raya umum Mac lalu.
Tiong yang juga Bendahari SPDP juga berkata, BNBBC akan bermesyuarat Selasa ini bagi membincangkan mengenai tindakan Parti Maju Sabah (SAPP) yang mengeluarkan kenyataan hilang kepercayaan kepada pucuk kepemimpinan BN dan perkembangan terkini yang dikaitkan dengan 10 Ahli Parlimen Sarawak akan turut dibangkitkan.
"Kita akan bincang kedudukan dua Ahli Parlimen SAPP dan dakwaan PKR yang membabitkan Ahli Parlimen di Sarawak," katanya.
No comments:
Post a Comment