
Gambar: NAJIB bersama pemenang Pertandingan Foto 1Malaysia dari kiri, Noor Diyana, Liew dan Md Azrul selepas menyampaikan hadiah pertandingan itu di pejabatnya di Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak semalam menyampaikan hadiah kepada tiga pemenang Pertandingan Foto 1Malaysia di pejabatnya di Bangunan Putra Perdana, di sini. Terdahulu, pemenang terbabit dibawa melawat sekitar kawasan pejabat Perdana Menteri sebelum bertemu Najib untuk menerima hadiah. Mereka ialah Henry Liew Su Loong, 21; Md Azrul Shaffiq Md Suhaimi, 20; dan Noor Diyana Mohmad Apandi, 20.
Mereka dipilih pemenang berdasarkan kreativiti menonjolkan konsep muhibah dan perpaduan yang menjadi elemen penting konsep 1Malaysia dalam foto mereka. Liew yang dinobatkan juara menerima kamera DSLR Canon, manakala Md Azrul Shaffiq dan Noor Diyana masing-masing menerima telefon bimbit Nokia E63 dan pemain MP3 i-Pod Touch. Pertandingan Foto 1Malaysia diumumkan Perdana Menteri pada 28 Februari lalu di Universiti Malaysia Pahang (UMP), diikuti oleh laman blog pada hari sama.
Ia berlangsung 1 hingga 31 Mac lalu dengan tema Perpaduan Melalui Kepelbagaian dan terbuka kepada semua rakyat negara ini berusia antara 18 hingga 23 tahun. – Bernama Liew dari Kudat, Sabah ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah mengakui terkejut apabila diberitahu beliau dipilih pemenang utama. Anak pemandu bas dan guru itu berkata, beliau tidak pernah mengimpikan untuk muncul juara memandangkan ini penyertaan pertamanya dalam pertandingan seumpama itu. "Saya sangat gembira kerana penyertaan pertama membuahkan hasil. Ia adalah galakan untuk saya terus mengejar cita-cita sebagai jurugambar," kata penuntut Institut Seni Sabah itu.
Beliau berkata, gambar kanak-kanak di sebuah tadika di Kota Kinabalu itu dipilih kerana ia mencerminkan konsep perpaduan tanpa mengira kaum, agama atau bangsa. "Saya mahu sampaikan mesej bahawa perpaduan boleh disemai sejak dari usia kanak-kanak lagi," katanya -
Bernama.
No comments:
Post a Comment