Kota Belud-Valley |
23rd October, 2012
KOTA BELUD: Seorang warga emas di sekitar Kampung Nahaba, dekat sini menyokong penuh bantahan para belia terhadap cubaan sebuah syarikat untuk mengurusniagakan batu dan pasir di sepanjang Sungai Wariu.
Bantahan tersebut pernah dibuat oleh para belia di situ dalam kenyataan yang dikeluarkan mereka melalui sebuah akhbar tempatan pada penghujung September lalu.
Warga emas itu, Wilton Labuan, merupakan penduduk asal di Kampung Nahaba berpendapat keindahan sungai tersebut wajar dikekalkan dan menyatakan kebimbangan jika aktiviti urusniaga batu dan pasir tanpa kebenaran itu dibiarkan, tentunya mengundang pelbagai masalah termasuk hakisan tebing sungai, menjejaskan keindahan dan menyebabkan habitat ikan turut musnah.
“Saya amat kagum dengan para belia di sini yang telah memberanikan diri menyuarakan bantahan supaya aktiviti itu dihentikan, kerana mereka tahu kegiatan ini jika tidak dibendung, akan mengakibatkan kerosakan terhadap ekosistem, habitat ikan dan persekitaran sungai itu sendiri.
Katanya, penduduk yakin pihak bertanggungjawab termasuk wakil rakyat di kawasan itu juga tidak akan menyokong urusniaga batu dan pasir di situ apatah lagi jika tidak memiliki sebarang kebenaran oleh pihak berkuasa.
Kebimbangan penduduk di situ meningkat apabila terdapat sebuah syarikat yang didakwa telahpun mula menyukat disekitar sungai tersebut, yang dipercayai sebagai langkah awal mereka bagi membuat permohonan menjalankan aktiviti pengorekan itu kelak.
Mereka percaya bahawa apa pun aktiviti yang akan dilakukan terhadap sungai tersebut memerlukan kebenaran ataupun pengesahan oleh kerajaan melalui prosedur tertentu, dan jika semua itu dilakukan secara telus ataupun melalui proses yang sah, tidak ada sebab mereka untuk membantah.
“Namun, jika kerajaan bertegas untuk memulihara dan memelihara alam semulajadi di setiap sungai di seluruh negara, tidak ada sebabnya mengapa kami perlu membiarkan pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan dan cuba mengaut keuntungan pada sungai yang begitu indah di daerah ini,” tegas beliau.
Walau bagaimanapun, menurut Wilton, jika terdapat peruntukan meluruskan sungai oleh Jabatan Parit Dan Saliran dan menutup tebing pada sawah padi, mereka terpaksa akur dan bersetuju sehinggalah projek itu siap.
“Kami yang sudah berusia ingin melihat sungai ini terus dipelihara sampai bila-bila agar keindahan alam semulajadi dalam sungai ini dapat diwarisi oleh generasi akan datang, dan kami juga membantah sekeras-kerasnya aktiviti ‘merosakkan’ sungai itu.
Wilton turut menyatakan sokongan terhadap seruan para pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang meminta agar semua rakyat Malaysia membantu kerajaan untuk menjaga keindahan alam, dan bukan merosakkan nya.
“Justeru, kami mohon pihak bertanggungjawab agar dapat campur tangan dalam isu ini kerana jika dibiarkan begitu sahaja, sudah pasti banyak masalah yang akan timbul,” sambung beliau lagi.
No comments:
Post a Comment