Banjir di Sg Wokok Ini tidak menjamin Air Sg Wario Jernih |
28th September, 2012
KOTA BELUD: Usaha pihak tertentu
yang cuba untuk mendapatkan surat kuasa kebenaran mengambil batu (TOL) di
Sungai Wariu, di sini mendapat bantahan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di
kawasan itu.
Persatuan Belia dan Beliawanis
Kampung Nahaba yang telah pun berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan
(ROS), kecewa dengan niat buruk pihak tertentu yang suka mementingkan
keuntungan sendiri dengan usaha membuat permohonan TOL itu.
Pengasasnya, Padis Mengisan,
berkata permohonan dipercayai Permit Bahan Batu itu perlu diambil serius oleh
kerajaan agar pihak terbabit tidak meneruskan niat buruk mereka untuk mengambil
batu di situ.
“Sungai ini masih dalam kawasan
Bombon Natesa (didaftar sejak 2010) yang mana sentiasa terjaga sejak dulu, jadi
perbuatan itu sudah pasti akan menjejaskan hidupan dan ekosistem sungai
tersebut selain sawah padi berhampiran,” katanya.
“Pihak persatuan belia tidak akan
bertolak-ansur sekiranya ada pihak tertentu yang mahu mengambil kesempatan terhadap
sungai itu untuk agenda dan kepentingan peribadi sendiri. Padis menambah, dikhuatiri
beberapa hari lalu, telah ada pihak yang telah datang menyukat kawasan itu
untuk ‘tujuan’ tersebut. Untuk rekod, sungai Wariu
merupakan sungai kedua terbesar dan terpanjang di daerah Kota Belud dengan
airnya yang jernih dan dipenuhi batu-batuan cerah dan keputih-putihan.
“Tidak hairanlah orang akan
terpesona bila melihatnya ditambah pula di dalamnya terdapat pelbagai spesies
ikan, yang menjadikannya sesuai untuk dijadikan tempat pelacongan. “Selain Sistem Tagal, sungai ini
merupakan keperluan utama pesawah di Kampung Tambulion, Kampung Nahaba dan
Kampung Tegudon bagi mengalirkan sungai ke sawah mereka selain kegunaan sebagai
sumber air minum kepada masyarakat di sini, termasuk Kampung Telungan, Kampung
Terintidan dan Kampung Sayap.
Menurut beliau, di kawasan
kedua-dua belah sungai tersebut adalah sawah padi luas, justeru, jika batu-batu
tersebut dikorek dan diambil sudah pasti tebing sawah tersebut juga akan
runtuh. “Kecuali ada kelulusan daripada
Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) dan mereka bersetuju membina benteng bagi
sawah-sawah tersebut, atau mengikut garis panduan, maka kami juga tidak ada
masalah, namun jika pasir atau batu-batu itu diurus niagakan, pihak persatuan
akan membantah sekeras-kerasnya,” tegas beliau.
Tambah beliau, andai kata masih
terdapat pihak daripada orang perseorangan dan pemborong cuba untuk mengaburi
mata masyarakat di situ, mereka seharusnya sedar bahawa perbuatan mereka itu
boleh menjejaskan reputasi mereka sendiri. “Kami tidak akan berganjak dan
kami tidak takut kepada sesiapa sahaja pihak yang cuba untuk merosakkan alam
semulajadi yang ada pada sungai ini,”.
Beliau turut menegaskan untuk
menentang habis-habisan sesiapa sahaja pihak yang cuba mencemari sungai
tersebut, dan tidak mahu dituduh sebagai pengkhianat di kampung mereka sendiri
oleh generasi muda akan datang. Mereka percaya bahawa tidak ada
pihak yang menyokong perbuatan yang dianggap menguntungkan sesuatu pihak sahaja
tanpa memikirkan kesannya terhadap alam sekitar dan masyarakat setempat.
“Sedangkan para pemimpin rakyat
sendiri menyokong usaha untuk memajukan kawasan yang berpotensi dijadikan
pelancongan, kenapa pula timbul niat pihak tertentu untuk cuba mengaut
keuntungan demi kepentingan sendiri, ini sangat memalukan,” ujar beliau.
Justeru, mereka mohon kepada
pihak berkaitan seperti Pejabat Daerah Kota Belud, Jabatan Pengairan Dan
Saliran (JPS) Kota Belud, Jabatan Tanah Dan Ukur, Jabatan Hutan, Polis Diraja
Malaysia (PDRM), Jabatan Pelancongan dan Jabatan Alam Sekitar sendiri tidak
akan meluluskan permohonan TOL dari mana-mana pihak bagi sungai tersebut dan
meminta pihak berkuasa untuk menyiasat perkara itu.
NEW SABAH TIMES
NEW SABAH TIMES
No comments:
Post a Comment